Sebahagian individu menghidapi masalah mata juling yang berlaku disebabkan beberapa faktor dan punca yang telah terjadi.
Ianya boleh berlaku di setiap peringkat kehidupan iaitu daripada peringkat bayi sehingga ke peringkat dewasa.
Keadaan ini jika berlaku menjejaskan penglihatan individu tersebut.
Apa Itu Mata Juling?
Mata juling dalam bahasa Inggeris disebug Squint atau bahasa saintifiknya Strabismus adalah keadaan kedudukan kedua-dua bola mata seseorang itu tidak selari ketika melihat ke arah yang sama.
Keadaan itu berlaku disebabkan gangguan koordinasi pada otot-otot yang menggerakkan bola mata.
Contohnya, mata sebelah kanan melihat ke hadapan manakala mata sebelah kiri melihat ke arah sisi, ke atas atau ke bawah.
Keadaan kesihatan ini boleh dikesan seawal kelahiran dan biasanya tahap kejulingan semakin ketara apabila tumbesaran meningkat.
Jika ianya berkembang pada zaman kanak-kanak, ianya mungkin memerlukan pembedahan untuk membetulkan mata.
Dalam kes yang kurang serius, individu tersebut boleh meluruskan mata dengan cermin mata khusus.

Punca Mata Juling
Punca bagi mereka yang mengalami keadaan kesihatan ini adalah seperti berikut:
- Masalah katarak kongenital
- Kelahiran pramatang
- Kecederaan bahagian kepala
- Masalah kelenjar thyroid
- Masalah ‘stroke’
- Ketumbuhan dalam kepala
- Rabun
Selain itu, penggunaan gajet secara berlebihan bagi kanak-kanak juga boleh menjadi punca masalah juling.
Kanak-kanak bermata juling mempunyai masalah memfokus menggunakan kedua-dua matanya pada satu objek secara serentak yang seterusnya boleh menyebabkan penurunan tahap penglihatan atau mata malas (amblyopia).

Rawatan Mata Juling
Rawatan bagi keadaan kesihatan inibergantung kepada masa, jenis dan tahap juling.
Dalam kalangan kanak-kanak, ianya dirawat untuk meningkatkan penglihatan termasuklah:
- Terapi penglihatan
- Merawat masalah amblyopia terlebih dahulu
- Memakai cermin mata
- Pembedahan
Kos Pembedahan
Individu perlu tampil mendapatkan pemeriksaan mata yang lengkap bagi memastikan diagnosis yang betul.
Sekiranya mereka tidak mempunyai masalah rabun atau ambliopia, keadaan kesihatan tersebut boleh dibetulkan melalui kaedah pembedahan.
Pembedahan mata juling adalah selamat dan kemudahan pembedahan ini terdapat di beberapa hospital kerajaan yang mempunyai kepakaran ‘Pediatrik Oftalmologi’ contohnya Hospital USM untuk kawasan Pantai Timur selain Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Tuanku Mukriz Cheras serta Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas Kota Kinabalu.
Bagi kos pembedahan di hospital kerajaan, kos pembedahan adalah serendah RM100 sehingga RM3,000 bergantung kepada kelas rawatan.
Untuk hospital swasta, kos pembedahan boleh mencecah lebih RM5,000, sebagai contoh di Sunway Medical Centre yang menetapkan kos pembedahan adalah sebanyak RM5,888.

Info Lanjut
Info lanjut mengenai keadaan kesihatan ini boleh dirujuk melalui pautan https://www.bharian.com.my/sihat/2025/01/1345580/beza-mata-malas-dan-mata-juling.
Baca juga: Bius Epidural – Prosedur, Risiko & Kebaikan Kepada Kesihatan